
14 April lalu Able Global Bhd mengumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menamatkan siasatannya terhadap Able Global Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edward Goh Swee Wang, dengan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap kedua-dua pihak.

Able Global memaklumkan telah menerima surat daripada SPRM bertarikh 8 April yang mengesahkan penutupan siasatan tersebut. Syarikat itu menyatakan dalam pemfailan bursa bahawa ia menerima surat tersebut.
“Sehubungan itu, lembaga pengarah menyimpulkan bahawa siasatan terhadap Able Global dan CEO kini ditutup.”
Namun di sebalik penutupan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Able Global Bhd, Edward Goh Swee Wang, dan syarikat itu sendiri, tumpuan kini tertumpu kepada Pengerusi Eksekutifnya, Ng Keng Hoe, yang sedang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.
Able Global dalam kenyataan rasmi mengesahkan bahawa SPRM telah menamatkan siasatan terhadap syarikat dan CEO selepas menerima surat rasmi bertarikh 8 April. Menurut surat tersebut, tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap Edward Goh atau syarikat di bawah Akta SPRM 2009. Lembaga Pengarah turut mengesahkan siasatan terhadap kedua-duanya kini dianggap selesai.
Able Globa setakat ini tiada penjelasan mengenai pengerusi eksekutifnya Ng Keng Hoe
Skandal Ng Keng Hoe: Mafia Singapura dan Dakwaan Berat
Pada 13 Februari 2025, Ng Keng Hoe ditahan SPRM dalam siasatan berkaitan perniagaan peribadinya. Sehari kemudian, Edward Goh turut disoal siasat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keterkaitan antara urusan peribadi Ng dan operasi Able Global.
Pada 28 Mac lalu, Ng didakwa di mahkamah atas tuduhan bersubahat dalam penggelapan harta secara tidak jujur, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Pihak Able Global sebelum ini menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berkaitan langsung dengan syarikat, dan hanya melibatkan urusan peribadi Ng serta pertikaian sivil di mahkamah.
Rampasan Kilang, Dokumen Palsu dan Penyeludupan
Siasatan terhadap Ng bukan sesuatu yang baharu. Pada Julai 2024, tular satu insiden melibatkan rampasan kilang sawit di Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di mana Ng didakwa berpura-pura menjadi pengarah syarikat Sawit Raya Sdn Bhd. Beliau turut dikaitkan dengan pemalsuan cop syarikat dan kepala surat untuk mengimport gula dari Thailand dan India.
Laporan media alternatif turut mendakwa beliau pernah menyerang rakan perniagaan secara fizikal, memalsukan tandatangan, melakukan penipuan kewangan, pecah amanah dan terlibat dalam penyeludupan gula secara haram. Gelaran “Mafia Singapura” yang dikaitkan dengannya bukan sekadar retorik, tetapi disokong oleh pelbagai pendedahan dan aduan.
Persoalan rakyat yang belum terjawab
Terdapat kejanggalan yang mencetuskan tanda tanya di kalangan pemerhati:
- Mengapa Ng hanya didakwa di bawah Seksyen 403, sedangkan siasatan asal berkisar kepada rasuah dan pengubahan wang haram?
- Mengapa Edward Goh turut ditahan jika SPRM akhirnya memutuskan tiada kes terhadapnya?
- Adakah terdapat percubaan untuk menjarakkan syarikat daripada skandal individu utama Ng Keng Hoe yang memegang kepentingan besar dalam Able Global?
Untuk rekod, Edward Goh dan bapanya memegang sebanyak 19.39% saham dalam syarikat, manakala Ng memegang 12.46%. Saham Able Global telah merosot 27% tahun ini tetapi sedikit pulih dengan peningkatan dua sen pada hari Isnin, menutup pada RM1.39.

Skandal yang melibatkan dua figura utama dalam Able Global ini menimbulkan persoalan tentang akauntabiliti korporat, ketelusan siasatan, dan sejauh mana peranan urusan peribadi pemimpin syarikat boleh menjejaskan reputasi korporat. Rakyat menanti jawapan — adakah keadilan benar-benar ditegakkan, atau sekadar sandiwara kuasa?