
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam mendakwa seorang ahli perniagaan, Razrul Anwar Rusli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menipu lima pelabur melibatkan pelaburan palsu berjumlah RM3.159 juta.
Razrul, 44, didakwa dengan lapan pertuduhan di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) menipu pelabur dengan menyatakan wang mereka akan dilaburkan dalam satu skim rekaan dikenali sebagai “Amal Trust” yang dikatakan menawarkan bon patuh syariah dengan pulangan tinggi.
Mangsa telah memindahkan wang mereka ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan tersebut berdasarkan representasi oleh Razrul.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
Razrul juga berdepan dua lagi pertuduhan berkaitan dengan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.
Pertuduhan pertama, di bawah seksyen 58(1) CMSA, berkaitan dengan tindakan Razrul yang menggambarkan beliau seolah-olah menjalankan perniagaan dalam urusan sekuriti.
Dia bagaimanapun tidak memiliki Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) dan juga bukan individu berdaftar untuk menjalankan urusan dalam sekuriti.
Kesalahan itu boleh didenda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua, di bawah seksyen 362(3) CMSA, berkaitan dengan penggunaan maklumat di laman web Amal Trust yang menyatakan, skim pelaburan yang ditawarkan mematuhi undang-undang sekuriti.
Ini menimbulkan tanggapan bahawa Razrul memiliki lesen untuk menjalankan perniagaan berkaitan aktiviti terkawal urusan dalam sekuriti meskipun sebenarnya tidak.
Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan-kesalahan yang didakwa itu berlaku antara April 2019 hingga April 2021 di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Razrul mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 10 pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.
Dia juga diarahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC secara bulanan sebagai syarat tambahan ikat jamin.
Untuk rekod Razrul Anwar Rusli ialah seorang ahli perniagaan dan bekas pemimpin politik Malaysia yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru.

Pada Jun 2021, Razrul didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima deposit haram berjumlah RM132,900 tanpa lesen yang sah. Kesalahan ini didakwa berlaku antara Julai hingga September 2017. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan dibebaskan dengan jaminan RM8,000 .
