
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Bina Puri Holdings Bhd memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Sdn Bhd (BPSB), telah menerima petisyen pembubaran daripada Fujifilm Business Innovation Asia Pacific Pte Ltd berikutan tunggakan hutang berjumlah RM309,129.
Menurut kenyataan syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini, petisyen tersebut difailkan oleh firma guaman Tetuan Skrine pada 8 Mei, dengan tarikh pendengaran ditetapkan pada 6 Ogos 2025.
Jelas Bina Puri, kelewatan dalam pemakluman kepada Bursa berpunca daripada keperluan untuk mengesahkan butiran petisyen bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat kepada pasaran.
Syarikat turut menjelaskan bahawa tuntutan tunggakan oleh Fujifilm adalah tertakluk di bawah satu pelan penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2024, yang turut melibatkan semua pemiutang termasuk Fujifilm. Pelan tersebut menetapkan syarat pembayaran hutang sebelum tarikh akhir yang dipersetujui.
“Petisyen ini dilihat sebagai tidak wajar, tidak mengikut prosedur, dan bertentangan dengan skim pembayaran hutang yang telah ditetapkan mahkamah,” tegas Bina Puri.
Bina Puri juga telah mengarahkan peguam Fujifilm untuk menarik balik petisyen dan notis berkaitan yang telah disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada 20 Mei 2025. Malah, syarikat menuntut ganti rugi atas kerosakan reputasi yang dialami susulan tindakan tersebut.
Bagaimanapun, Bina Puri menjelaskan bahawa petisyen tersebut tidak akan memberi kesan kewangan atau operasi secara langsung kepada kumpulan kerana BPSB bukan merupakan anak syarikat teras.
Untuk rekod, saham waran Bina Puri (BPURI-WB) mencatat lonjakan ketara pada 24 April 2025, iaitu pada hari yang sama Bursa Malaysia melaporkan insiden dagangan luar biasa melibatkan sekitar 80 akaun.