
KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Chin Hin Group Berhad bersama dua tokoh korporatnya, Datuk Seri Chiau Beng Teik dan anaknya Chiau Haw Choon, telah mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap portal pendedahan dalam talian The Corporate Secret, menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta atas dakwaan penyiaran kenyataan fitnah dan tidak berasas.
Dalam surat tuntutan yang dihantar oleh firma guaman Firoz Julian, pihak Chin Hin mendakwa bahawa dua artikel yang diterbitkan oleh portal berkenaan pada 22 dan 23 Mei 2025 telah memfitnah serta memburukkan reputasi mereka secara serius.
Dua artikel yang dipersoalkan ialah:
1. “Skim MBI: Rahsia Datuk Seri Chiau Beng Teik bayar RM10 Juta kepada Tan Sri Kean Soon terbongkar!” diterbitkan pada 22 Mei oleh penulis bernama protagoras.
2. “MBI Scheme: The Secret Behind Datuk Seri Chiau Beng Teik’s RM10 Million Payment to Tan Sri Kean Soon Exposed!” diterbitkan sehari kemudian oleh Farrel Farzan.
Menurut surat tersebut, artikel-artikel berkenaan membawa maksud bahawa pihak Chin Hin Group terlibat dalam Skim MBI, satu skim pelaburan yang dikaitkan dengan penipuan Ponzi berskala besar, dan bahawa mereka telah melakukan pengubahan wang haram. Dakwaan tersebut, menurut peguam mereka, adalah tidak benar, bersifat jahat dan berniat merosakkan nama baik klien mereka di mata masyarakat.
“Kenyataan fitnah ini telah menyebabkan klien kami menjadi bahan cemuhan awam serta mengalami tekanan, rasa malu dan kerosakan reputasi yang teruk,” tegas peguam mereka dalam surat berkenaan.


Sebagai langkah segera, pihak Chin Hin menuntut agar:
1. Artikel-artikel tersebut dipadamkan daripada laman web berkenaan;
2. Pihak The Corporate Secret berhenti serta-merta daripada mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut yang berunsur fitnah;
3. Satu permohonan maaf secara bertulis dan penarikan balik diterbitkan secara rasmi;
4. Dan pembayaran pampasan sebanyak RM10 juta dibuat sebagai ganti rugi.
Portal The Corporate Secret diberi tempoh 24 jam untuk memenuhi tuntutan ini. Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan tindakan undang-undang diteruskan di mahkamah.
Penghujung April lalu The Corporate Secret turut mendedahkan penglibatan Tan Sri ketiga dalam skim MBI iaitu Tan Sri Datuk Alex Ooi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Ideal Property Group namun beliau menafikannya. Media kemudiannya mengumumkan penahanannya dan rampasan aset berkaitan.
Tan Sri Datuk Seri Tan Kean Soon, Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad dan Tan Sri Dato’ Dr Khor Eng Chuen, Pengerusi ECK Development Sdn. Bhd di reman polis turut direman polis sebelum ini.
Bagaimanapun Datuk Seri Chiau Beng Teik Pengerusi Chin Hin Group Bhd ‘si pembayar’ RM10 juta sangat kebal dan masih boleh santai di kapal layar mewahnya. Dan kini Chin Hin Group menuntut RM10 juta daripada The Corporate Secret.
Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang respons rasmi daripada pihak The Corporate Secret.