
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Menterinya, Datuk Armizan Ali, menegaskan dakwaan pemotongan dan pemansuhan subsidi LPG di bawah Ops Gasak yang dilaksanakan untuk mengekang ketirisan subsidi LPG juga adalah tidak benar.
Beliau berkata, langkah mewajibkan permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) hanya terpakai bagi mana-mana pihak yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram (kg) dan ia dilaksanakan sejak 2021.
Katanya, punca kuasa perundangan Ops Gasak yang dilaksanakan bermula 1 Mei lalu hingga 31 Oktober depan adalah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu PPKB (Pindaan) 2021.
“Tidak ada dasar dan peraturan baharu, apatah lagi pemotongan dan pemansuhan subsidi LPG melalui Ops Gasak.
“Fokus utama Ops Gasak adalah membanteras aktiviti haram decanting, penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.
“Mengikut Peraturan 2021 itu yang kita masih guna pakai untuk Ops Gasak adalah hanya penggunaan melebihi 42 kg yang memerlukan PBKB.
“Maka tidak benar jika disebut semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong LPG bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Armizan menjawab dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mendakwa semua kedai makan dikehendaki menggunakan LPG untuk kegunaan komersial iaitu silinder gas berwarna ungu 14 kg berharga RM70 setiap satu, berbanding silinder gas berwarna hijau untuk kegunaan domestik, yang berharga RM26 setiap satu.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa pengguna akhirnya akan terpaksa menanggung kos kedai makan susulan harga LPG untuk kegunaan komersil itu lebih mahal 170 peratus, berbanding silinder kegunaan domestik.
Mengulas lanjut, Armizan, berkata bagi perniagaan jualan makanan dan minuman, KPDN tidak mengambil tindakan undang-undang termasuk kompaun dan sitaan kepada mana-mana peniaga yang belum mempunyai PBKB sepanjang tempoh Ops Gasak.
Ini kerana pada peringkat ini, fokus adalah kepada advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada kerangka undang-undang sedia ada.
“Kita tidak mengambil tindakan undang-undang kerana kita terbuka kepada sebarang aduan dan syor untuk penambahbaikan.
“KPDN menerima aduan dan syor daripada pelbagai pihak dan saya sendiri menerima cadangan penambahbaikan daripada kepemimpinan DAP.
“Sebarang penambahbaikan akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri termasuk jika ada keperluan merubah PPKB (Pindaan) 2021 yang dikuat kuasa,” katanya.
Pada masa sama, Armizan meminta Ka Siong menyemak semula peraturan berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang dakwaan kerana Ka Siong berada dalam Kabinet pada 2021.
“Saya bersangka baik, mungkin kerana Peraturan 2021 itu di bawah kementerian lain, maka beliau terlepas pandang dan pasukan beliau juga tidak memberikan nasihat yang tepat kepada beliau sebelum membuat kenyataan umum.
“Justeru, dengan penuh hormat, saya mencadangkan Wee Ka Siong menyemak Peraturan yang dibuat semasa beliau menjadi seorang Menteri itu.
“KPDN dan Kerajaan Madani pada hari ini tidak membuat sebarang perubahan setakat ini.
“Adalah tidak bertanggungjawab jika kita membuat kenyataan umum yang mengelirukan rakyat,” katanya.